me me and just me !

My photo
insan biasa sajor.! menulis sekadar memuntahkan apa ada di benak fikiran..penulisan yang sekadar cakar ayam..menaip bila ade mud sahaja..yg sudi bace,terima kasih yooo.!! aha..jangan bila ade post islamik dah judge aku ni baik or cube berlagak baik..ehh..ehh..nope!! hanya insan biasa sahaja,hati pun belum bersih..but im trying to be better muslim..in shaa ALLAH..and dont expect perfection from me..BECAUSE IM A SINNER :')

Dec 22, 2011

ELAK JADI KELDAI DADAH_Berita Harian

KUALA LUMPUR: Menggunakan e-mel palsu, menawarkan kerja kosong serta menyiarkan iklan menerusi internet dan SMS adalah antara taktik sindiket jenayah antarabangsa memperdaya rakyat negara ini, terutama

wanita, untuk menjadi perantara membawa dadah. Berikutan itu, Kementerian Luar semalam meminta rakyat negara ini berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran perjalanan percuma ke luar negara atau membawa barang bagi pihak ketiga, bagi mengelak dipergunakan sebagai pembawa dadah atau ‘keldai dadah’.

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata kementerian peka dengan kewujudan sejumlah sindiket jenayah antarabangsa yang cuba memperdaya rakyat Malaysia untuk kegiatan mereka terutama bagi membawa dadah.

“Sindiket ini cuba mempengaruhi wanita tempatan, pelajar, lelaki menganggur dan sasaran lain yang mudah, untuk membawa dadah bagi pihak mereka. Pembawa dadah ini dikenali sebagai ‘keldai dadah’.

“Keldai dadah digunakan sindiket untuk menyeludup dadah haram bagi mengelak diri mereka dikesan atau ditangkap pihak berkuasa, sekali gus membolehkan mereka mengaut keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mengikut rekod Konsular Kementerian Luar, seramai 329 rakyat Malaysia ditahan di luar negara sepanjang tahun lalu atas pelbagai kesalahan, termasuk 145 membabitkan kes dadah dan angka berkenaan terus menunjukkan peningkatan.

Sehingga April lalu saja, 149 rakyat negara ini ditahan atas pelbagai kesalahan di luar negara dengan 34 daripadanya adalah berhubung kes dadah.

Kegiatan sindiket antarabangsa yang memperalatkan warga tempatan sebagai perantara menyeludup dadah dibongkar Berita Harian tahun lalu dengan laporan 20 wanita Malaysia dikurung dalam sebuah rumah oleh sindiket antarabangsa yang menjadikan Sepanyol sebagai pangkalan mereka.

Sindiket didalangi warga Afrika itu memperdaya wanita berkenaan dengan tawaran bekerja di Eropah dan dijanjikan gaji lumayan, tetapi sebaik tiba di Sepanyol, mangsa dikurung serta dipaksa menghantar dadah ke beberapa negara.

Ada antara mereka hanya mengetahui membawa bahan larangan itu, biasanya disembunyikan dalam ruangan khas beg pakaian diberikan anggota sindiket, apabila ditahan pihak berkuasa di pintu masuk negara tertentu.

Kohilan berkata, jika sebelum ini modus operandi sindiket berkenaan terhad kepada tawaran kerja mudah atau perjalanan percuma ke luar negara, mereka kini mula beralih dengan membuat tawaran menerusi internet, akaun bank atau iklan atas nama mangsa.

Katanya, banyak kes membabitkan rakyat Malaysia telah mencemarkan nama dan imej negara, sekali gus menyukarkan rakyat negara ini yang mahu membuat perjalanan atas pelbagai urusan ke luar negara.

Sehubungan itu, Wisma Putra menggariskan lima langkah yang boleh diambil bagi mengelak terpedaya dengan pelbagai tawaran menarik dan menjadi mangsa sindiket jenayah antarabangsa berkenaan iaitu:

* Menentukan status dan memeriksa latar belakang majikan;

* Berwaspada dengan tawaran ‘wang mudah’ yang tidak diminta;

* Berwaspada apabila disuruh membawa barangan yang tidak diketahui;

* Berhati-hati dengan jalinan hubungan yang cepat berkembang bersama kenalan baru yang menawarkan pelbagai janji dan manfaat; dan

* Melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sesuatu tawaran kerja yang disyaki kesahihannya.

Kementerian itu juga meminta semua agensi pelancongan dan syarikat penerbangan supaya bekerjasama menasihatkan pelanggan dan penumpang mengenai kewujudan sindiket itu dengan menyebarkan notis peringatan ketika pelanggan membeli tiket penerbangan atau mendaftar masuk di lapangan terbang.

Kementerian juga berharap orang awam, pihak media, entiti korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama membantu mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia terhadap kegiatan sindiket itu.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment